Hebahan Berita Dari Portal JPN Kedah

Rabu, 18 Jun 2014

TEKS UCAPAN TPM PADA MAJLIS PELANCARAN LAPORAN TAHUNAN 2013 PELAN PEMBANGUNAN PENDIDIKAN MALAYSIA 2013-2025

TEKS UCAPAN
YAB TAN SRI DATO’ HJ MUHYIDDIN BIN HJ MOHD YASSIN
TIMBALAN PERDANA MENTERI
MERANGKAP MENTERI PENDIDIKAN MALAYSIA
MAJLIS PELANCARAN LAPORAN TAHUNAN 2013
PELAN PEMBANGUNAN PENDIDIKAN MALAYSIA 2013-2025
17 JUN 2014
SMK PUTRAJAYA PRESINT 11 (1)
PUTRAJAYA

Bismillahhirramanirrahim
Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam Sejahtera dan Salam 1Malaysia,

1. Pertama, marilah kita memanjatkan rasa syukur ke hadrat Allah S.W.T kerana dengan limpah dan kurnia-Nya, dapat kita bersama-sama dalam Majlis Pelancaran Laporan Tahunan 2013, Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025. Majlis ini memberi kesempatan kepada saya untuk menzahirkan penghargaan di atas kerja keras warga Kementerian Pendidikan Malaysia dan warga pendidik dalam memulakan langkah pelaksanaan PPPM. Dan pada hari ini saya berasa bangga dapat menyampaikan laporan tahunan yang pertama bagi pelaksanaan PPPM.

2. Terlebih dahulu saya merakamkan ucapan terima kasih kepada Pengetua SMK Putrajaya Persint 11 (1) yang telah memberi ruang dan kesempatan untuk sama-sama kita berhimpun di sini bagi menyorot catatan pencapaian beberapa inisiatif PPPM yang telah kita usahakan bersama. Terima kasih jua saya ucapkan kepada YB Menteri Pendidikan II, Dato’ Sri Idris Jusoh, YB Timbalan-Timbalan Menteri, Ahli Panel Dialog Nasional Pendidikan Negara, dan Panel Bebas PPPM yang turut hadir dalam majlis ringkas tetapi amat bermakna dan penting bagi kita meneruskan agenda transformasi pendidikan.

Para hadirin yang saya hormati.

3. Sebagaimana yang telah kita sedia maklum, Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 telah dilancarkan secara rasmi pada 6 September 2013. Walaupun PPPM ini dilancarkan hampir di penghujung tahun 2013 tetapi pelaksanaan beberapa inisiatif telah dimulakan pada awal tahun 2013. Alhamdulillah, kita semua telah dapat melihat kejayaan awal bagi enam inisiatif dalam tempoh 100 hari pelaksanaan dan pada hari ini pula, saya amat berbesar hati dapat menyampaikan Laporan Tahunan 2013 PPPM untuk pertama kalinya kepada semua pihak sejajar dengan Anjakan ke-11 PPPM iaitu, meningkatkan ketelusan untuk kebertanggungjawaban awam secara langsung.

4. Syabas dan terima kasih, saya ucapkan kepada semua pihak yang telah menghasilkan laporan ini tetapi yang lebih penting dari itu ialah usaha keras dan komitmen tulus ikhlas daripada pihak pengurusan Kementerian hinggalah kepada kumpulan pelaksana iaitu para guru yang telah memberi sumbangan yang bukan sedikit, untuk memastikan PPPM ini dilaksanakan dengan jayanya.

5. Seperti yang telah dimaklumkan oleh YBhg Dato’ KPPM sebentar tadi, sepanjang 2013, Kementerian telah memberi fokus kepada 25 inisiatif utama dengan tumpuan untuk memberi sokongan kepada guru serta meningkatkan kemahiran teras yang memberi impak terhadap keberhasilan murid.

6. Saya percaya sepanjang tahun 2013, Unit Pelaksanaan dan Prestasi Pendidikan (PADU) yang dipimpin oleh YBhg Dato’ Prof. Dr Rujhan Mustafar telah memainkan peranan yang sewajarnya bagi memastikan inisiatif-inisiatif mencapai KPI yang ditetapkan. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada YBhg Dato’ Prof. Dr Rujhan Mustafar atas sumbangan yang diberikan dan beliau kini tidak lagi bersama-sama PADU. Dan dalam kesempatan ini, saya ingin mengalu-alukan kehadiran CEO, PADU yang baru iaitu Pn Khadijah Abdullah (memperkenalkan CEO). Beliau bukanlah orang baru dalam dunia pendidikan. Pernah menjadi guru, pensyarah di maktab perguruan, dan pensyarah di university sebelum menceburi diri dalam bidang korporat. Saya berkeyakinan dengan kelayakan dan reputasi cemerlang yang dimiliki, beliau mampu memimpin PADU bagi merealisasikan PPPM ini.
Para hadirin yang saya hormati,

7. Saya berpendapat bahawa Laporan Tahunan PPPM ini merupakan satu dokumen penting yang perlu dirujuk untuk kita menambahbaik tindakan. Saya telah dimaklumkan bahawa, daripada 25 inisiatif yang dilaksanakan pada tahun 2013, ada inisiatif yang telah menunjukkan pencapaian menggalakkan. Tetapi ada juga inisiatif yang mencapai sebahagian daripada KPI dan sebilangan inisiatif lagi memerlukan tumpuan serta perhatian yang lebih khusus. Apa pun pencapaiannya, ia harus dijadikan panduan untuk Kementerian merangka strategi dan pendekatan yang lebih baik.

8. Di sini saya ingin menyatakan beberapa inisiatif yang berjaya menunjukkan pencapaian memberangsangkan. Dua inisiatif yang berkait dengan akses ialah,

a. Enrolmen prasekolah, dan
b. Transformasi Pendidikan Vokasional

Dua inisiatif berkaitan ekuiti iaitu,
a. Program Transformasi Daerah, dan
b. Program Pendidikan Inklusif

Dari aspek kualiti yang diberi penekanan dalam gelombang 1 ini, terdapat enam inisiatif yang mencapai KPI, iaitu,
a) Kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT)
b) Literasi dan Numerasi (LINUS)
c) Profisiensi Guru Bahasa Inggeris (ProELT)
d) Transformasi Institut Pendidikan Guru,
e) Piagam Pemimpin Sekolah, dan
f) Sarana Ibu Bapa

Dua inisiatif yang berkait dengan kecekapan iaitu,
a) Transformasi Kementerian, dan
b) Pembaikan infrastruktur asas

Manakala satu inisiatif menyentuh tentang perpaduan yang berjaya dilaksanakan pada 2013 ialah Rancangan Integrasi Murid Untuk Perpaduan (RIMUP).

9. Program Transformasi Daerah (DTP) sebagai contoh, adalah inisiatif yang menunjukkan pencapaian paling ketara. Program ini yang dirintis di Sabah dan Kedah, bertujuan untuk meningkatkan prestasi sekolah di samping merapatkan jurang pencapaian antara sekolah bandar dan luar bandar. Sekolah yang berprestasi rendah telah dibantu oleh SIPartner+ dan SISC+, manakala sekolah-sekolah dalam Band 3 hingga 5 diusahakan untuk mencapai prestasi yang lebih baik.

10. Pada 2013, program rintis ini memperlihatkan keberhasilan yang signifikan apabila kadar peningkatan keputusan peperiksaan kebangsaan (UPSR, PMR, SPM) di kedua-dua negeri tersebut adalah yang tertinggi berbanding semua negeri lain di Malaysia. Malah, pencapaian peperiksaan kebangsaan yang diraih ini adalah yang terbaik bagi kedua-dua negeri tersebut semenjak 10 tahun yang lalu. Jurang pencapaian antara sekolah bandar-luar bandar di Sabah dan Kedah nampaknya semakin mengecil dan jauh lebih baik daripada purata bagi seluruh negara. Sesungguhnya kejayaan ini amat membanggakan dan memberi kekuatan kepada Kementerian untuk memperluaskan lagi Program Transformasi Daerah ini ke seluruh negara mulai 2014.

11. Pencapaian pendidikan dari segi akses sejak negara merdeka pada 1957 amat menggalakkan. Ketika itu, tidak banyak kanak-kanak mendapat akses. Lebih separuh daripada populasi tidak pernah mendapat persekolahan formal, hanya 6 peratus mendapat pendidikan menengah dan 1 peratus memperoleh pendidikan lepas menengah. Kini kita telah mencapai enrolmen hampir sejagat di peringkat rendah iaitu sekitar 96 peratus.

12. Atas dasar bahawa setiap kanak-kanak warganegara Malaysia berhak mendapat kesamarataan peluang pendidikan bagi membolehkan mereka mencapai potensi masing-masing, PPPM telah melaksanakan beberapa usaha ke arah peluasan akses seperti;
a. Peningkatan enrolmen prasekolah;
b. Transformasi pendidikan vokasional (TPV);
c. Penawaran pelbagai aliran pendidikan;
d. Penerusan akses kepada pendidikan bagi kumpulan khusus; dan
e. Transformasi Tingkatan Enam;.

13. Kementerian yakin sekiranya kadar enrolmen murid di peringkat prasekolah diberi perhatian, kita mampu mencapai 100 peratus enrolmen merentas semua peringkat sekolah menjelang 2020. Oleh itu, bagi tahun 2013 tumpuan inisiatif bagi mencapai akses ialah meningkatkan enrolmen prasekolah. Pada tahun 2013, enrolmen prasekolah yang dicapai berada pada 81.7 peratus (793 269 murid) daripada kanak-kanak berumur 4+ dan 5+ berbandingan 80.5 peratus pada tahun 2012. Ini merupakan pencapaian yang menggalakkan dengan beberapa usaha Kerajaan memberi pelbagai insentif seperti membuka sebanyak 8,883 kelas prasekolah pada 2013 bagi menampung seramai 192 173 (24.2%) murid.

14. Inisiatif Transformasi Pendidikan Vokasional merupakan satu lagi usaha ke arah meningkatkan pencapaian akses seiring dengan aspirasi sistem di dalam PPPM. Pendidikan vokasional suatu ketika dulu dianggap sebagai pendidikan kelas dua dan hanya diceburi oleh murid yang tidak berminat untuk belajar dalam aliran akademik. Kini, melalui Transformasi Pendidikan Vokasional, murid yang menyertai aliran vokasional dipersiapkan dengan kelayakan dan kemahiran yang diiktiraf oleh industri supaya diterima dalam pasaran kerja serta mampu menjadi usahawan yang berdaya saing pada masa hadapan. Mereka juga dapat melanjutkan pengajian hingga ke peringkat diploma melalui pewujudan Kolej Vokasional. Perubahan dalam lanskap struktur pendidikan negara dan bidang ini menjadi pilihan utama murid serta ibu bapa sebagaimana amalan negara maju. Pada tahun 2013, peratus murid ditingkatkan kepada 20 peratus melalui kerjasama serta pelibatan pihak swasta dalam menyediakan kemudahan pendidikan tersebut.

15. Sistem pendidikan negara juga tidak mengenepikan peningkatan kualiti pendidikan untuk murid Orang Asli. Sehingga kini, sebanyak 39,149 (0.74%) daripada murid sekolah rendah dan sekolah menengah seluruh negara merupakan murid Orang Asli. Bagi membaiki pencapaian murid Orang Asli, inisiatif PPPM 2013 menjurus ke arah meningkatkan penguasaan literasi dan numerasi; meningkatkan taraf kemudahan infrastruktur di sekolah dan asrama; meningkatkan hubungan sekolah dengan komuniti melalui Kelas Dewasa Ibu Bapa Murid Orang Asli dan Peribumi (KEDAP); dan meningkatkan kualiti serta kebajikan guru.

Para hadirin yang dihormati,

16. Gelombang 1 PPPM memberi tumpuan kepada menyokong guru dan memberi tumpuan kepada kemahiran utama kerana Kementerian memahami bahawa guru memainkan peranan yang amat penting dalam menjayakan transformasi pendidikan. Guru adalah individu yang mencorakkan murid. Jika pengajaran dan pembelajaran guru menarik dan hebat, sudah tentu murid yang dilahirkan juga hebat lagi bijaksana.

17. Bagi mencapai hasrat ini, keutamaan Kementerian adalah meningkatkan kualiti guru bermula dengan Transformasi IPG. Pada tahun lalu, syarat pengambilan guru telah diperketatkan. Sebanyak 42 peratus pengambilan merupakan pelajar dengan sekurang-kurangnya 7A dan 70 peratus dengan sekurang-kurangnya 5A. Langkah ini merupakan petanda baik ke arah amalan sistem berprestasi tinggi seperti Finland, Singapura dan Korea Selatan yang membenarkan hanya pelajar dalam kelompok 10 peratus hingga 30 peratus teratas menyertai profesion perguruan.

18. Profesion perguruan terus diperkasakan melalui inisiatif Piagam Guru dan Pemimpin Sekolah. Pada tahun lalu inisiatif ini telah berjaya menghasilkan Instrumen Penilaian Bersepadu (Unified Instrument, UI); menghasilkan Pelan Induk Pembangunan Profesional Berterusan (PIPPB); dan memperkemaskan laluan kerjaya guru. Bagi Piagam Pemimpin Sekolah, syarat pemilihan pengetua dan guru besar berasaskan prestasi telah diluluskan dan dilaksanakan, untuk memastikan calon yang terbaik memimpin sekolah.

19. Satu lagi kejayaan cemerlang yang dapat dicapai dalam aspek kualiti guru ialah peningkatan penguasaan guru Bahasa Inggeris. Kejayaan ini penting dalam usaha Kementerian untuk melahirkan murid yang berkemahiran dalam sekurang-kurangnya dua bahasa. Kementerian telah menetapkan standard penguasaan bagi guru sekolah rendah dan menengah berdasarkan Common European Framework of Reference (CEFR).Buat pertama kalinya, Kementerian menjalankan ujian penguasaan Bahasa Inggeris secara besar-besaran melibatkan 61,000 guru, guru pelatih dan pensyarah. Keputusan penilaian tersebut membolehkan seramai 14,000 guru dikenal pasti untuk menjalani program peningkatan bahasa atau Professional Upskilling for English Language Teachers (Pro-ELT)dan menduduki Ujian Aptis.

20. Dalam ujian ini bagi guru-guru Kohot 1 seramai 5010 telah menunjukkan keputusan yang menggalakkan dengan pencapaian 76.4 peratus guru meningkat sekurang-kurangnya satu tahap profisiensi. Peratus guru pada tahap BI yang telah meningkat sekurang-kurangnya satu band ialah 90.8 peratus manakala guru B2 yang meningkat sekurang-kurangnya satu band ialah 42.1 peratus. Sebanyak 10.8 peratus guru telah menunjukkan peningkatan dua tahap penguasaan.

21. Turut dipaparkan di dalam Laporan Tahunan 2013 PPPM ini ialah kejayaan inisiatif LINUS (Literasi dan Numerasi). Peningkatan penguasaan Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris dalam kalangan murid menjadi keutamaan segera PPPM 2013-2025. Inisiatif LINUS telah mensasarkan 100 peratus murid menguasi literasi Bahasa Malaysia dan numerasi. Pada tahun 2013, LINUS 2.0 telah menunjukkan pencapaian yang memberangsangkan bagi murid Tahun 3, iaitu 99.1 peratus murid menguasai literasi Bahasa Malaysia dan 99.3 peratus menguasai numerasi. Literasi Bahasa Inggeris Tahun 1 yang baharu dilaksanakan pada tahun lalu telah menunjukkan peningkatan yang ketara daripada saringan garis asas 50.1 peratus kepada 63.3 peratus dalam saringan 2.

22. Walaupun terdapat peningkatan pencapaian yang ketara bagi literasi Bahasa Inggeris, sasaran 100 peratus yang ditetapkan pada akhir Tahun 3 masih jauh untuk dicapai. Sasaran ini memerlukan kadar peningkatan lebih 18 peratus setahun dalam tempoh dua tahun akan datang. Kadar peningkatan ini jauh mengatasi kemajuan yang pernah diperoleh bagi literasi Bahasa Malaysia dan numerasi. Sasaran yang ditetapkan amat mencabar kerana terdapat sebilangan besar sekolah yang mempunyai ramai murid Tahun 1 yang tidak menguasai literasi Bahasa Inggeris

23. Di samping inisiatif, Kementerian akan terus melipatgandakan usaha meningkatkan kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT) dalam proses pengajaran dan pembelajaran. KBAT merupakan elemen penting bagi melahirkan modal insan yang mampu bersaing pada abad ke 21. Bagi tahun 2013, beberapa inisiatif telah dilakukan untuk meningkatkan KBAT seperti Program i-Think di 500 buah sekolah. Sepuluh buah sekolah juga telah memasuki fasa pencalonan untuk program International Baccalaurate Middle Years.
Para hadirin sekalian,

24. Sokongan kepada guru dan meningkatkan kemahiran teras perlu diiringi dengan kecekapan kita mengurus pendidikan dan kemudahan infrastruktur yang kondusif. Pada tahun lalu, Kementerian telah memulakan usaha untuk mentransformasi Kementerian. Sebagai langkah permulaan, perwakilan kuasa ke JPN bagi kontrak perolehan, perkhidmatan dan bekalan sehingga RM 5 juta telah dilaksanakan. Profil kompetensi kepimpinan 251 jawatan utama JPN dan PPD juga telah selesai dilaksanakan. Pada tahun ini, penyusunan fungsi Bahagian-Bahagian di Kementerian sedang diusahakan dan jika mengikut perancangan keberkesanan transformasi ini akan dapat dilihat pada 2016 nanti.

25. Begitu juga dengan usaha untuk meningkatkan kualiti infrastruktur di sekolah. Kementerian telah berjaya membaiki 1,693 buah sekolah yang daif pada tahun 2013. Namun begitu, Kementerian sedar bahawa masih banyak lagi sekolah yang berkeadaan daif untuk ditingkatkan kualiti infrastruktur khususnya di negeri Sabah dan Sarawak. Kesemua perkara ini memerlukan kita melipatgandakan usaha agar suatu hari nanti sistem pendidikan negara kita adalah sebaris dengan negara-negara yang terbaik di dunia. Insyallah.

26. Dalam usaha menyediakan sistem pendidikan yang berkualiti, Kementerian terus dengan agenda memupuk perpaduan melalui interaksi murid dalam pelbagai program yang di sediakan di sekolah. Satu daripadanya ialah pelaksanaan Rancangan Intergrasi Murid Untuk Perpaduan (RIMUP) dengan tumpuan kepada tiga aspek, iaitu kebudayaan dan kesenian, sukan dan permainan serta patriotism dan jati diri. Pada tahun lalu sebanyak 20 peratus sekolah rendah terlibat dengan pelaksanaan RIMUP. Inisiatif ini mensasarkan sebanyak 60 peratus sekolah akan melaksanakan RIMUP pada 2014.

Para Hadirin Sekalian

27. Saya ingin mengucapkan syabas kepada semua pihak yang bertungkus lumus dalam melaksanakan inisiatif PPPM. Meskipun telah terpancar beberapa kejayaan awal PPPM dalam tempoh setahun yang lalu, kita tidak seharusnya leka atau terlalu awal untuk berpuas hati dengan kejayaan yang telah dicapai. Beberapa isu dan cabaran masih dihadapi khususnya dalam usaha merapatkan jurang pencapaian murid dan prestasi sekolah Bandar dan luar bandar.

28. Selain daripada jurang pencapaian, masih wujud jurang digital, status sosial ekonomi antara kaum dan jurang lokasi yang perlu diatasi supaya hasrat PPPM untuk memperluaskan akses, memperkukuhkan perpaduan, meningkatkan ekuiti, kualiti dan keberkesanan sistem pendidikan negara dapat dicapai.

29. Kementerian Pendidikan telah mengiktiraf pelan transformasi pendidikan negara melalui penyediaan Laporan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025. Untuk melangkah ke tahun 2014, Kementerian akan meneruskan usaha bagi mencapai aspirasi sistem seperti yang telah ditetapkan dan dihasratkan dalam PPPM seperti peningkatan penguasaan Bahasa Inggeris dalam kalangan guru dan murid, sebanyak 100 peratus Pengetua dan Guru Besar yang berpotensi tinggi untuk mengisi kekosongan jawatan dengan menggunakan syarat baharu, dan 31 peratus sekolah berada dalam Band 1 dan 2.

30. Transformasi menjanjikan perubahan. Dan perubahan yang akan dilaksanakan pada 2014 adalah merentasi sistem pendidikan negara. Guru masih menjadi tumpuan utama dan peranan yang perlu dimainkan adalah menjadi pemimpin dalam bilik darjah. Pelbagai bentuk sokongan, bimbingan dan latihan disediakan bagi meningkatkan pengetahuan dan kemahiran pengajaran.

31. Bagi pemimpin sekolah, mereka perlu berperanan sebagai pemimpin pengajaran yang cemerlang dan meluangkan lebih banyak masa untuk melatih guru, menjadi agen perubahan di sekolah dan dalam komuniti. Manakala pegawai di JPN/PPD, mereka perlu menjadi pembimbing dan menyokong pihak sekolah. Perlu mengadakan lawatan kerja ke sekolah dengan lebih kerap dan membantu sekolah menyelesaikan masalah.
Tuan-tuan dan puan-puan,

32. Saya percaya sepanjang pelaksanaan inisiatif PPPM 2013, banyak pengajaran dan pengalaman telah diperoleh dan dipelajari bagi Kementerian meningkatkan lagi usaha. Antaranya adalah :

a. Kejayaan cemerlang beberapa sekolah dalam PISA 2012 yang setanding dengan pendidikan terbaik di dunia boleh dijadikan contoh bagi sekolah-sekolah lain untuk meningkatkan prestasi;

b. Pencapaian cemerlang beberapa inisiatif membuktikan bahawa kejelasan matlamat yang hendak dicapai dan perancangan yang teliti merupakan faktor kritikal kejayaan; dan yang tidak kurang penting ialah,

c. Pelibatan pihak berkepentingan. Sokongan dan kerjasama daripada pihak berkepentingan khususnya para ibu bapa amat-amat ditagih. Saya rasa amat bangga apabila dimaklumkan telah ada sekumpulan jurulatih dari kalangan ibu bapa yang secara ikhlas membantu Kementerian menarik sokongan ibu bapa untuk sama-sama memastikan kejayaan PPPM. Sebahagian daripada mereka turut hadir hari ini - ucapan setinggi-tinggi terima kasih kepada mereka.

33. Kajian telah menunjukkan kira-kira 80 peratus transformasi yang dilakukan oleh mana-mana organisasi yang berskala besar gagal mencapai hasil yang diharapkan. Kajian juga menunjukkan bahawa organisasi yang menggunakan agenda perubahan adalah empat (4) kali kemungkinan untuk berjaya dalam proses transformasi. Ini bermakna transformasi pendidikan yang sedang diusahakan perlu melibatkan perubahan amalan dan keupayaan mengurus perubahan. Matlamat PPPM seharusnya disampai dan dipahat sedalamnya dalam setiap sanubari warga pendidik agar kita semua senada dalam melaksanakan transformasi pendidikan. Oleh itu, saya menyeru kepada semua barisan pemimpin baik di peringkat Kementerian, JPN, PPD dan sekolah serta semua pihak berkepentingan agar menjadikan PPPM sebagai keutamaan, satu agenda dan satu impian. Insyallah suatu hari nanti kita mencapai kejayaan yang kita impikan.

Sekian, Assalamualaikum w.b.t.

Muat Turun Laporan Tahunan 2013 Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025


Pautan muat turun adalah seperti berikut:
  1. Laporan Tahunan 2013 PPPM (Bahasa Malaysia)
  2. Malaysia Education Blueprint Anual Report 2013 (Bahasa Inggeris)

Isnin, 19 Mei 2014

Teks Ucapan oleh TPM Sempena Sambutan Perayaan Hari Guru Kali Ke-43

TEKS UCAPAN


YAB TAN SRI DATO' HJ MUHYIDDIN BIN HJ MOHD YASSIN
TIMBALAN PERDANA MENTERI
MERANGKAP MENTERI PENDIDIKAN MALAYSIA

SAMBUTAN PERAYAAN HARI GURU
KALI KE-43

"GURU: PENCETUS KREATIVITI, PENJANA INOVASI"
16 MEI 2014, PUKUL 9.00 PAGI, DEWAN MERDEKA, PWTC

Bismillahirrahmanirrahim
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,
Salam Sejahtera dan Salam 1Malaysia

Yang Berhormat Datuk Seri Idris bin Jusoh
Menteri Pendidikan II

Yang Berhormat Datuk Mary Yap Kain Ching
Timbalan Menteri Pendidikan I

Yang Berhormat Tuan P. Kamalanathan a/l P. Panchanathan
Timbalan Menteri Pendidikan II

Yang Berbahagia Datuk Dr. Madinah binti Mohamad,
Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Malaysia;

Yang Berbahagia Dato’ Seri Ir Dr. Zaini bin Ujang,
Ketua Setiausaha II Kementerian Pendidikan Malaysia;

Yang Berbahagia Datuk Dr. Khair bin Mohamad Yusof,
Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia;

Timbalan-Timbalan Ketua Setiausaha dan Timbalan-Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia,

Rektor Institut Pendidikan Guru Malaysia, Ketua-Ketua Bahagian Kementerian Pendidikan Malaysia, Pengarah-Pengarah Pendidikan Negeri,

Yang Berusaha Tuan Haji Abdullah bin Mad Yunus,
Pengarah Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur,

Tan Sri-Tan Sri, Datuk-Datuk, Dif-dif Jemputan, Tuan-tuan, Puan-puan dan para pendidik yang saya hormati sekalian.

1. Alhamdullillah, syukur ke hadrat Allah swt kerana dengan rahmat-Nya kita dapat berhimpun pada hari ini sempena Perayaan Hari Guru Peringkat Kebangsaan Kali ke-43 Tahun 2014. Saban tahun kita meraikan Perayaan Hari Guru sebagai mengiktiraf peranan dan sumbangan guru dalam mendidik anak bangsa dan memacu kemajuan negara. Sempena hari yang amat bermakna ini, saya merakamkan ucapan segunung kasih dan setulus penghargaan kepada semua guru di seluruh pelosok negara atas segala jasa, bakti dan sumbangan anda semua.

‘GURU: PENCETUS KREATIVITI, PENJANA INOVASI’

Para guru, saudara dan saudari yang saya hormati sekalian,

2. Selaras dengan tema Hari Guru pada tahun ini, iaitu ‘Guru: Pencetus Kreativiti, Penjana Inovasi’, sudah tiba masanya guru benar-benar menjadi pencetus kreativiti dan penjana inovasi dalam mendidik murid. Ini adalah amat penting memandangkan negara kita sedang menuju era negara maju di mana ekonomi negara kita perlu dipacu oleh daya inovasi rakyat. Untuk menghadapi persaingan global yang semakin sengit dalam persekitaran ekonomi yang dipacu oleh inovasi, sistem pendidikan kita sebenarnya memainkan peranan yang amat penting dalam menjana daya inovasi rakyat.

3. Menyedari hakikat ini, kerajaan berusaha mentransformasi sistem pendidikan negara menerusi Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (2013-2025) yang memberi penekanan terhadap elemen kreativiti dan inovasi. Selaras dengan itu juga, Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) telah dilaksanakan di sekolah yang merangkumi tujuh elemen iaitu kurikulum, pedagogi, pentaksiran, sumber, sokongan masyarakat, ko-kurikulum dan bina upaya guru. KBAT di bilik darjah telah diperkukuh melalui Program i-Think iaitu satu program yang membantu pihak sekolah memupuk kemahiran berfikir, menyemai budaya pembelajaran sepanjang hayat, mahir dalam menyelesaikan masalah dan berupaya menghasilkan jalan penyelesaian secara kreatif dalam kalangan murid. InsyaAllah, menerusi program i-Think ini kita akan dapat melahirkan para pencipta generasi masa depan Malaysia yang hebat dengan kebolehan dan kemahiran berfikir secara kritis, kreatif dan inovatif.

4. Dengan kerjasama Agensi Inovasi Malaysia (AIM), sebanyak 1,048 buah sekolah telah melaksanakan Program i-Think pada tahun 2013. Pada tahun ini, guru-guru dari 1,000 buah sekolah telah diberi latihan KBAT secara dalam talian sebagai langkah memperluas Program i-Think ke semua sekolah di seluruh negara. Pembudayaan KBAT turut dilaksanakan di Institut Pendidikan Guru (IPG) melalui kursus untuk guru pelatih dan pensyarah.

5. Bagi menggalakkan pembudayaan inovasi dalam kalangan warga pendidik, Kementerian Pendidikan sentiasa memberi penghargaan dan pengiktirafan kepada projek-projek inovasi guru melalui Pertandingan Anugerah Guru Inovatif Peringkat Kebangsaan yang dilaksanakan sejak tahun 2002. Antaranya projek “Smart Kiosk” oleh Cikgu Mohd Solleh Halim bin Mohd Sokhi dari Sekolah Kebangsaan Parit Serong, Tanjung Karang, Selangor, yang dihasilkan daripada bahan terbuang yang terdapat di persekitaran sekolah. Cikgu Teh Tik Seng dari SMK Sacred Heart, Sibu, Sarawak yang telah menghasilkan inovasi “Matematik EZ Draw”, iaitu satu kaedah penyelesaian masalah bagi meningkatkan prestasi murid dalam Matematik. Cikgu Vimala a/p Muniandy dari SJK(T) Subramaniya Barathee, Gelugor, Pulau Pinang menghasilkan “Courseware Kesusasteraan Bahasa Tamil” untuk Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil. Produk inovasi berkaitan disiplin juga turut dihasilkan bagi meningkatkan pengurusan disiplin di sekolah. Pada tahun 2013, SMK Agama Putrajaya telah menghasilkan “X-Time2” untuk membantu murid menepati masa; Jabatan Pendidikan Negeri Sabah menghasilkan “Minda Ajaib Portable Whiteboard” untuk mengatasi masalah pembelajaran luar kelas; dan Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas Alma, Bukit Mertajam, Pulau Pinang menghasilkan projek “Smart Iqra” untuk mengatasi masalah penguasaan asas al-Quran dalam kalangan murid berkeperluan khas penglihatan.

6. Semua inovasi ini telah dihasilkan melalui pendekatan, kaedah, teknik, bahan dan peralatan baharu yang terbukti berjaya meningkatkan keberkesanan PdP. Semoga kejayaan guru-guru yang saya sebutkan tadi dapat merangsang guru-guru lain untuk terus meningkatkan usaha mencari idea baharu yang lebih kreatif dan inovatif ke arah meningkatkan kualiti pendidikan negara.

PENINGKATAN PROFESIONALISME GURU

Para guru dan hadirin yang saya hormati sekalian,

7. Sememangnya menjadi guru dewasa ini tidaklah semudah yang disangka. Tugas dan tanggungjawab besar yang terletak di bahu para guru menuntut komitmen yang tinggi khususnya dalam menghadapi persaingan global yang menuntut perubahan dinamik dalam sistem pendidikan. Untuk itu, guru sebagai golongan profesional perlu bersedia untuk menerima perubahan dan memiliki ciri inovatif sebagaimana sabda Rasulullah SAW dalam sebuah Hadis Riwayat Muslim yang bermaksud, ‘Barang siapa melakukan hal baharu yang baik, maka ia mendapat pahalanya dan mendapat pula pahala orang lain yang mengerjakan hal baharu yang baik itu’.

8. Guru juga perlu sentiasa menambah nilai intelektualnya kerana guru merupakan agen perubahan dalam menghasilkan modal insan yang diperlukan oleh negara kita. Great teachers groom their students to become leaders. Ordinary teachers direct us along the right path, but great teachers inspire us to seek our own path. They encourage us to discover our talents.

9. Peningkatan profesionalisme dan kualiti guru harus diutamakan bagi mencapai matlamat PPPM. Untuk tujuan ini, Kementerian akan memantapkan latihan guru di IPG. Kursus-kursus dalam program pendidikan guru turut memberi penekanan terhadap penerapan unsur-unsur kreativiti dan inovasi dalam latihan perguruan merangkumi Program Persediaan Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PPISMP), Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP) dan Program Diploma Perguruan Lepas Ijazah (PDPLI). Elemen inovasi turut diberi tumpuan melalui aktiviti PdP merangkumi pembentangan, projek, pembinaan sumber PdP, pertandingan inovasi bagi pendidikan lestari dan pembelajaran atas talian. Pembudayaan inovasi di IPG juga dimantapkan dengan penganjuran program-program inovasi di peringkat IPGM dan IPG kampus.

10. Selain itu, dalam usaha kita untuk memartabatkan profesion keguruan, Kementerian telah menggabungkan skim perkhidmatan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah (PPPS) dan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Lepasan Diploma (PPPLD) ke dalam satu skim perkhidmatan bersepadu PEGAWAI PERKHIDMATAN PENDIDIKAN (PPP) berkuatkuasa pada 1 Januari 2014. Pada tahun ini dianggarkan 5,000 orang Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PPP) Gred DG29, DG32, DG34 dan DG38 akan dinaikkan pangkat ke Gred DG42.

11. Program Pensiswazahan Guru (PPG) yang bermula di bawah Rancangan Malaysia Kesepuluh meletakkan sasaran 60 peratus guru siswazah sekolah rendah dan 90 peratus guru siswazah sekolah menengah pada tahun 2015. Pada tahun ini seramai 6,286 orang PPP yang sedang mengikuti PPG dijangka bergraduat, manakala 27,105 orang PPPD dijangka bergraduat pada tahun 2015. KPM juga sentiasa menyokong guru-guru untuk menyambung pengajian sehingga ke peringkat tertinggi. Berdasarkan rekod pada tahun 2014 sahaja, seramai 250 guru menyambung pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana dan 150 guru ke peringkat Ijazah Doktor Falsafah.

12. Selanjutnya, penambahbaikan laluan kenaikan pangkat secara Time-Based Berasaskan Kecemerlangan yang memberi peluang yang luas kepada Pegawai Perkhidmatan Pendidikan untuk menikmati kenaikan pangkat merupakan satu penghargaan dan pengiktirafan kerajaan kepada para guru. Sehingga Jun 2014, dijangkakan seramai 195 orang guru dinaikkan ke gred DG54, manakala 643 orang ke gred DG52, 803 orang ke gred DG48 dan 8,954 orang ke gred DG44. Bagi Guru Bukan Siswazah pula, seramai 354 orang dinaikkan ke gred DGA38, manakala 11,314 orang dinaikkan ke gred DGA34 dan 4,091 orang ke gred DGA32.

13. Dianggarkan seramai lebih 10,500 orang Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah dan 15,700 orang Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Lepasan Diploma telah mendapat manfaat kenaikan pangkat melalui skim tersebut. Bagi melaksanakan semua urusan kenaikan pangkat guru, kerajaan telah memperuntukkan sejumlah besar kewangan yang membuktikan kesungguhan kerajaan memberi pengiktirafan kepada usaha para guru dalam membentuk modal insan yang berpersonaliti unggul. Justeru, saya berharap agar peluang kenaikan pangkat ini akan memberi semangat dan dorongan kepada semua guru untuk meningkatkan prestasi masing-masing.

14. Saya juga telah mengumumkan penganugerahan Tawaran Baru Guru Besar kepada 566 buah sekolah rendah yang berjaya melonjakkan pencapaian sekolah masing-masing melepasi sasaran prestasi yang ditetapkan pada tahun 2013. Bilangan sekolah tersebut mewakili 7.31 peratus daripada 7,746 sekolah rendah dan melepasi sasaran 6 peratus yang ditetapkan oleh KPM. Sebanyak 209 (36.9%) adalah sekolah bandar, 302 (53.4%) adalah sekolah luar bandar dan 55 (9.7%) adalah sekolah pedalaman. Ini menunjukkan peningkatan berbanding pencapaian bagi tahun 2012 iaitu sebanyak 180 sekolah bandar dan 280 sekolah luar bandar telah menerima anugerah ini.

15. Daripada keseluruhan penerima anugerah ini, 119 buah sekolah telah menerima anugerah ini sebanyak empat kali berturut-turut. Sebanyak RM23.1 juta telah diagih kepada hampir 22,063 orang warga sekolah, yang terdiri daripada guru besar, guru-guru serta anggota kumpulan pelaksana sebagai ganjaran kepada penganugerahan tersebut. Saya mengucapkan syabas dan tahniah kepada pemimpin sekolah dan guru-guru yang telah menerima ganjaran tawaran baru pada tahun ini. Saya berharap ganjaran ini dapat menyemarakkan semangat guru dalam mengoptimumkan peranan untuk melahirkan anak didik yang boleh bersaing di peringkat global, mempunyai keistimewaan tersendiri serta bersahsiah tinggi.

KEJAYAAN DI PERINGKAT ANTARABANGSA

Saudara dan saudari yang saya hormati sekalian,

16. Hasil bimbingan guru yang kreatif mampu menjana inovasi murid. Kita berbangga dengan pencapaian murid kita dalam pelbagai pertandingan seperti Pertandingan Inovasi Kebangsaan dan Malaysian International Young Inventors Olympiad 2013 (MIYIO) dengan muncul sebagai johan dalam beberapa kategori. Di peringkat antarabangsa, murid kita melakar kejayaan dengan muncul johan keseluruhan dalam World Robots Olympiad 2013 di Jakarta. Pingat emas dan markah penuh telah diraih oleh adik Yeoh Zi Song dari SJKC Chong Teik, Balik Pulau, Pulau Pinang dalam 16th Primary Mathematics World Contest (PMWC, 2013) Hong Kong. Semasa 64th INTEL International Science and Engineering Fair (INTEL ISEF) di Phoenix, Arizona, Amerika Syarikat, adik Nur Liyana Johari telah menerima Intel ISEF 2013 Special Awards Organizations berjumlah USD5000 daripada United Airlines Foundation.

17. Sekolah Menengah Sains Hulu Selangor pula telah memenangi Anugerah Best International Team Award Pertandingan National Final F1 di United Kingdom dan Anugerah Emas dalam Asia Pasific Conference of Young Scientists yang diadakan di Palembang, Indonesia. Sekolah Seri Puteri Cyberjaya telah menyertai Festival Muzik Antarabangsa Australia (SP Winds) dan dianugerahkan Gold Award di Sydney, Australia. Manakala, Sekolah Menengah Sains Tuanku Syed Putra, telah memenangi tempat kedua anugerah khas United Airlines Foundation sempena Intel International Science and Engineering Fair 2013 di Arizona, Amerika Syarikat. Sekolah Menengah Sains Selangor memperolehi Anugerah Emas dalam European Exhibition of Creativity and Innovation (EUROINVENT) 2013 yang diadakan di Lasi, Romania. Tahniah dan syabas saya ucapkan kepada semua warga pendidikan yang telah berusaha gigih untuk memastikan nama negara harum di peringkat antarabangsa.

18. Dalam bidang sukan di peringkat antarabangsa pula, Malaysia melakar sejarah tersendiri apabila muncul juara keseluruhan Kejohanan Balapan dan Padang Sekolah Asia (ASTFC) yang pertama dengan meraih 12 pingat emas, 14 pingat perak dan 10 pingat gangsa untuk mendahului lapan lagi negara yang bertanding. Pasukan Malaysia juga mencapai kejayaan cemerlang dalam Temasya Sukan Asean Para Games, Nay Pyi Taw Myanmar 2014 dengan memenangi 9 emas, 5 perak dan 2 gangsa.

19. Saya juga amat berbangga dengan kejayaan guru kita yang meraih kejayaan cemerlang dalam temasya sukan di peringkat antarabangsa. Saya mengucapkan tahniah kepada Cikgu Mohd Jironi Riduan dari Sekolah Sukan Tuanku Mahkota Ismail, Johor yang telah memenangi 2 pingat emas dalam Sukan Sea ke-27, di Nay Pyi Taw, Myanmar dalam acara lumba lari 800m dan 1500m.

Saudara dan saudari yang saya hormati sekalian,

20. Sempena majlis yang penuh bermakna ini, saya ingin merakamkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan dan tahniah kepada para guru yang dinobatkan sebagai Tokoh Guru Kebangsaan, Tokoh Kepimpinan Pendidikan Kebangsaan dan Ikon Guru bagi tahun ini. Anugerah ini ialah tanda penghargaan dan pengiktirafan negara terhadap jasa serta pengorbanan tokoh-tokoh guru yang tidak ternilai kepada bangsa dan negara.

21. Justeru, sekali lagi saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada para insan bergelar guru di mana jua anda berada. Biarkan ungkapan keramat ‘guru’ atau ‘cikgu’ tetap kekal meniti di bibir murid, ibu bapa dan masyarakat hingga ke akhir hayat seorang guru. Semoga saudara dan saudari para guru terus menjadi inspirasi kepada generasi penerus bangsa. Kepada guru-guru saya ingin berpesan agar sayangilah murid-murid seumpama ibu atau bapa kepada mereka dan didiklah mereka dengan baik. Kepada murid-murid, nasihat saya, hormatilah dan hargailah jasa guru-guru anda.

16 Mei sentiasa dinanti
Sambutan meriah penuh tradisi
Terima kasih guru-guru yang dikasihi
Jasa baktimu sentiasa diingati

Dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, sukacitanya saya merasmikan Sambutan Perayaan Hari Guru Peringkat Kebangsaan Kali Ke-43 Tahun 2014. SELAMAT HARI GURU! TERIMA KASIH CIKGU! Wabillahitaufik walhidayah wassalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh

Muhyiddin Titis Air Mata : Terharu Jumpa Bekas Guru Matematik Ketika Belajar di Sekolah Tinggi Muar

Keratan akhbar Harian Metro pada 17 Mei 2014.

Rabu, 7 Mei 2014

Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) dalam Sistem Pentaksiran Pendidikan Kebangsaan (SPPK)

Pelaksanaan PBS telah diperkenalkan pada tahun 2011 di tahun satu dan pada tahun 2012
di sekolah menengah. Ini bermakna pelaksanaannya adalah masuk tahun ketiga di sekolah rendah dan tahun kedua di sekolah menengah. Namun begitu masih banyak pihak yang kurang jelas tentang PBS dan terdapat segolongan masyarakat yang mengatakan ianya satu sistem peperiksaan yang baharu yang akan menggantikan sistem peperiksaan sedia ada. Perlu diakui bahawa bukan mudah untuk memberikan kefahaman dalam jangka masa yang singkat, apatah lagi selama ini kita hidup dalam sistem pendidikan yang berorientasikan peperiksaan
semata-mata.

PBS Bukan Perkara Baharu
Sebenarnya PBS bukanlah perkara baharu. Selama ini telah wujud PBS dalam sistem pendidikan di sekolah-sekolah, ada yang direkod dan ada yang tidak.  PBS yang direkod telah dilaksanakan oleh guru-guru dalam banyak mata pelajaran seperti Pentaksiran Lisan Berasaskan Sekolah (PLBS) dan Ujian Lisan Berasaskan Sekolah (ULBS) bagi mata pelajaran bahasa, Perkara Asas Fardu Ain (PAFA) dalam Pendidikan Islam, dan Penilaian Kerja Amali (PEKA) bagi mata pelajaran Sains.
Mungkin ada yang tidak sedar bahawa guru-guru yang menggunakan teknik soal-jawab, kuiz, kerja projek dan pelbagai lagi kaedah pengajaran dan pembelajaran, sebenarnya juga telah menjalankan pentaksiran. Cuma, segala pentaksiran yang dilaksanakan itu tidak direkodkan, atau jika direkodkan pun, tidak diambil kira sebagai sebahagian daripada markah dalam ujian atau peperiksaan yang dijalankan secara berasingan, yang lazimnya dikendalikan
secara formal.

Memahami PBS dalam SPPK
PBS ialah satu daripada dua komponen utama dalam Sistem Pentaksiran Pendidikan Kebangsaan (SPPK). Satu komponen lagi ialah Peperiksaan Pusat (UPSR, PMR, SPM, STAM, SPMU). PBS merupakan satu pentaksiran yang bersifat holistik iaitu menilai aspek kognitif, afektif dan psikomotor selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan kurikulum kebangsaan. Komponen PBS terdiri daripada bidang akademik dan bukan akademik. Bidang akademik terdiri daripada Pentaksiran Sekolah (PS) dan Pentaksiran Pusat (PP), manakala bidang bukan akademik terdiri daripada Pentaksiran Psikometrik (PPsi) dan Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK). Kedua-dua bidang ini memberi pengiktirafan dan autonomi kepada guru untuk melaksanakan pentaksiran formatif dan sumatif yang berasaskan sekolah.
Melalui rajah yang disertakan, diharap akan dapat memberikan gambaran yang lebih jelas tentang PBS dan kaitannya dengan SPPK dan Peperiksaan Pusat.

Pentaksiran sekolah dirancang, dibina, ditadbir, diperiksa, direkod dan dilapor oleh guru sekolah yang berkenaan dan berfungsi sebagai pentaksiran untuk pembelajaran (assessment for learning) dan pentaksiran tentang pembelajaran (assessment of learning). Pentaksiran Pusat pula ialah pentaksiran yang ditadbir, diperiksa, direkod dan dilapor di peringkat sekolah oleh guru berdasarkan tugasan yang dikeluarkan oleh LP dalam tempoh yang ditetapkan mengikut mata pelajaran. Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum ditadbir, direkod dan dilaporkan melalui penyertaan, penglibatan dan pencapaian murid dalam Standard Kecergasan Fizikal Kebangsaan (SEGAK), Body Mass Index (BMI), aktiviti sukan, aktiviti kokurikulum dan aktiviti ekstra kurikulum. Manakala melalui Pentaksiran Psikometrik maklumat tentang kebolehan (innate ability dan acquired ability), kemahiran berfikir, kemahiran menyelesaikan masalah, minat, kecenderungan, sikap dan personaliti murid dapat membantu guru dalam proses pengajaran-pembelajaran.